Isnin, 25 Ogos 2008

Dollah menyesal tak sudah

Oleh: UTUSAN MALAYSIA

SEANDAINYA mampu dan berpeluang mengubah semula keadaan, mahu sahaja Dollah Salleh mengelakkan kesilapan barisan benteng Selangor yang menjadi punca utama terlepasnya Piala Malaysia kepada Kedah dalam perlawanan akhir edisi ke-82, kelmarin.

Jurulatih Selangor itu mengakui, kesilapan mudah yang tidak sepatutnya dilakukan bagi gol pertama dan ketiga Kedah (Marlon Alex James dan Fadly Baharom) telah mengubah corak permainan lawan menjadi begitu hebat sedangkan anak buahnya yang terus tenggelam secara sepasukan.

"Pada 20 minit pertama, kami menguasai permainan tetapi dengan kesilapan yang kami dilakukan di bahagian pertahanan, corak kami menjadi begitu longgar. Benteng kami tiba-tiba goyah dengan satu dua kesilapan mudah, malah keseluruhan pasukan terikut-ikut," katanya di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin.

Gol pertama Kedah hasil lorongan terus pemain terbaik perlawanan, Nelson Sam Martin kepada Marlon pada minit ke-30 juga tidak mampu dikejar dan disaingi dua benteng tengahnya, Razman Roslan dan Evans Chisulo sehingga penyerang Kedah itu merembat mudah menewaskan Suffian Ab. Rahman.

Kecuaian Razman Roslan dalam mengawal bola biarpun jauh daripada rebutan Baddrol Bakhtiar membolehkan Fadly yang diumpan tanpa dikawal di sebelah kiri, menolak kencang untuk gol minit ke-38 sekali gus mengesahkan Kedah selaku juara tiga gelaran Liga Malaysia buat dua musim berturut-turut.

"Satu kesilapan yang sama (seperti perlawanan akhir Piala FA), cuma dilakukan oleh pemain lain. Khasnya gol ketiga, saya rasa tidak patut seorang pemain pertahanan lakukannya tetapi dalam bola sepak, kita tidak boleh hendak cakap apa, benda sudah berlaku, Kedah mengambil peluang itu dan kami menanggung padah," katanya.

Selangor yang kali terakhir menjulang Piala Malaysia pada 2005 (termasuk Piala FA dan Liga Perdana), bagaimanapun mendahului 1-0 menerusi pemain importnya dari Liberia, Frank Seator dan penyerang kebangsaan, Safee Sali merapatkan kedudukan dengan sepakan sungkit cantik pada minit ke-77.

Kata Dollah yang menempuh musim ketiganya menerajui Gergasi Merah, "kami sudah mencuba sehabis baik dan mulai bangkit pada babak kedua, tetapi tuah masih tidak menyebelahi kami dan memang kami akui kami menentang sebuah pasukan yang bagus seperti Kedah."

Tiga penggantian pemain dilakukan - Amirulhadi Zainal bagi D. Surendran; R. Surendren untuk Elie Aiboy dan Fadzli Saari dengan Indra Putra Mahayuddin namun Selangor yang turut diatasi dari segi jumlah penyokongnya, belum mampu menebus tiga kekalahan kepada Kedah musim ini, 6-2, 1-0 dan 3-2 (Liga Super dan Piala FA).

Menurut Dollah, sebagai jurulatih, dia akur dengan kekalahan itu dan bertanggungjawab sepenuhnya tetapi agak terkilan dengan kehadiran penyokong Merah Kuning yang tidak mampu mengimbangi 'Lautan Hijau Kuning' sedangkan lokasi Stadium Nasional masih lebih hampir dengan Shah Alam.

imanfc

Isnin, 11 Ogos 2008

Anggerik Mencengkam Iman



Pada hari Ahad lepas Iman kalah kepada Aggerik 3-1 menjadikan kekalahan kedua bagi Iman. Kekalahan ini bukanlah kayu ukur sebenar Iman. Dengan keadaan cuaca yang terlalu panas Iman hampir tidak bermaya untuk mengasak kubu lawan. Rata-rata pemain terasa terlalu bahang untuk meneruskan perlawanan.

Dengan barisan tengah di kemudi oleh Fadzil dan Nizam gerakan Iman tampak menjadi cuma percaturan kurang tepat. Dengan corak permainan laju yang cuba di terapkan Iman tampak tidak berfungsi dibahagian jentera serangan. Bola banyak hilang ditengah padang. Permainan separuh masa banyak di kuasai oleh Anggerik. Sekali sekala serangan Iman berbahaya cuma tiada penyudah sempurna. Kelekaan bahagian bawah mengundang padah bila perangkap off-side tidak menjadi sehingga Anggerik berjaya mencuri satu gol. Separuh masa pertama 1-0.

Separuh masa kedua bermula baik apabila pertukaran antara Sariffudin dan Shankar menjadi. Shankar banyak mengucar kacir kubu lawan. Tapi semua bagai tak menjadi buat Iman dimana 6 percubaan tepat berjaya di tepis oleh penjaga gol. Iman terasa sesak lalu terpaksa meninggalkan jauh penyerang lawan di hujung padang. Akibatnya Anggerik berjaya menambah gol.

Keadaan menjadi lebih rumit buat Iman apabila sepakan sudut Anggerik berjaya menerjah jaring buat kali ketiga. Namun Iman tidak patah semangat. Gol yang dicari akhirnya berjaya di cipta apabila sepakan Fadzil terkena tiang lalu terpantul ke dalam kotak, lalu disambung oleh Nizam dengan tandukan kemas ke dalam gawang. Keputusan akhir Iman-1 dan Anggerik-3.